Saturday, May 1, 2021

Formula 14 - Sifir Hutang

 "Hutang boleh menjadi penyebab kepada rezeki tersekat daripada sampai kepada kita" . 

Suatu ketika dulu , saya tidak pernah berhutang dengan sesiapa hatta satu sen sekalipun. 10 tahun lalu sebelum saya memasuki Universiti , saya menjaga ibadah , silaturrahim , hati ibu bapa dan aurat. Saya sangat menjaga tingkah laku sehingga setiap orang yang datang kepada saya, mereka pasti suka dan tertarik dengan saya. Itulah yang dikatakan rezeki. 

Pada waktu itu , rezeki memang melimpah- limpah. Ada sahaja sumber yang tidak disangka-sangka datang, saya sifir hutang. Mudah sungguh perjalanannya. Hidup saya penuh gelak dan ketawa. Ibu saya pernah berkata kepada seseorang yang saya lupa wajah dan diri empunya badan bahawa saya ini anak yang sangat murah rezeki, mendapat biasiswa itu ini, belajar kelas terpandai dan sebagainya. 

Setelah masuk Universiti tahun pertama, saya diberikan biasiswa JPA yang berjumlah Rm5,000 untuk satu semester. Banyak dan kaya bukan ? Alhamdulillah syukur. Sangat mewah hidup saya di UKM. Tidak perlu risau hal kewangan dan sebagainya. Saya juga dapat elaun tambahan Rm1,800 bagi satu semester daripada UKM pula. Jadi jumlah yang saya peroleh ialah Rm6,800. 

Wah! Sangat kaya buat diri saya yang bergelar pelajar Universiti pada usia 20 tahun. Saya dilahirkan dalam kalangan keluarga miskin, tidak pernah pegang duit sebanyak itu. Gembira bukan kepalang. Walaupun orang lain lebih banyak duit daripada saya, saya rasa diri sudah kaya benar. Tolak yuran , duit buku dan lain-lain, bakinya saya simpan ke akaun tetap dan belanja saraan sepanjang bergelar mahasiswi. 

Sepanjang dua tahun setengah menuntut ijazah, memang tiada masalah hutang dan duit . Tambah pula pada suatu hari, saya terima SMS daripada pihak bank yang menyatakan duit saguhati telah dimasukkan ke akaun saya sebanyak Rm2,000++. Saya tidak tahu itu duit apa namun ia daripada pihak JPA. 

Walhal saya telah terima belanja Rm5,000 setiap semester. Dapat tambahan Rm2,000 itu , saya terkedu dan sangat bersyukur. Setiap malam selepas solat Isyak , saya kerjakan solat sunat hajat. Saya buat secara istiqamah. Sangat senang hidup saya kerana saya tidak pernah berhutang dan menjaga ibadah diri dengan baik. Alhamdulillah . 

Pada semester akhir , hidup mula diselubungi kegelapan , kemurungan , masalah mula bertandang kerana saya lalai dan terjebak dalam beberapa perkara yang dilarang. Rezeki akan lari apabila kita mula mendekati maksiat. Itulah yang terjadi kepada saya . Maksiat hati, tangan, mata, telinga dan mulut. 

Hidup saya mula tidak keruan, sentiasa resah gelisah. Tahun terakhir itu, bayangkan simpanan saya hilang Rm5,000 sekelip mata dari akaun bank saya. Saya miliki simpanan Rm13,000 ketika itu. Saya bingung dan pergi ke bank untuk tuntut semula duit yang hilang namun tidak berjaya. Saya gagal. Jadi bakinya makin tinggal sedikit iaitu Rm8,000. 

Duit simpanan mulai kurang . Saya diduga lagi dengan keperluan adik dan diri untuk biayaan duit lesen memandu berjumlah Rm2,500 untuk dua orang. 

"Jika tiada lesen dan tidak buat pada ketika saya ada duit ini, bila lagi mahu buat ? Nanti bila mahu bekerja , tiada lesen , masalah pengangkutan pula", fikir saya. 

Tanpa berkira , saya keluarkan simpanan. Duit yang hilang, saya redha ia pergi kerana itu bukan rezeki saya. Baki yang ada hanyalah Rm4,000 lebih untuk masa hadapan saya. Masalah ini saya tanggung seorang diri. Kegelisahan saban malam saya pendam sendiri. Mereka hanya tahu saya gembira. Saya tak menangis namun saya susah hati sampai kurus. Badan mula nampak kerangka, tulang rusuk timbul. Bukan itu sahaja, saya turut bergelut dengan tesis dan penyelia . Makin berat tekanannya. 

Setelah tamat pengajian, saya berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Master. Ketika saya dilanda masalah kewangan , saya mula belajar berniaga, buat dropship (jual barang orang tanpa pegang stok). Saya jual apa sahaja di FB. Duit untung hasil jualan yang sikit itu saya buat tampung belanja study. 

Sejak itu, saya terpaksa minta duit yuran daripada abang- abang dan kakak- kakak yang bekerja. Mereka sangat mudah membantu walaupun susah. Alhamdulillah, terima kasih adik- beradikku. Jasamu akanku balas In Sha Allah bila tiba masanya. 

Peringkat Master sangat perit, laptop rosak, terpaksa keluarkan simpanan beli laptop baru. Masa ini, saya tidak lagi semewah degree, hanya dapat tajaan KPT untuk yuran pengajian dan PTPTN sebagai duit sara hidup. Saya berniaga sungguh- sungguh. Setiap hari ada saja rezeki masuk namun rezeki cepat pergi . Cepat masuk, cepat keluar. Saya tidak tahu puncanya. 

Saya mula belajar berhutang dengan rakan baik. Saya pinjam Rm200 untuk bayar kaji selidik lapangan. Saya tiada duit, malah semakin sempit, sempit dan terus sempit. Setelah tamat pengajian dengan payahnya, diri masih alami ujian, dugaan, azabnya tidak terungkap dengan kata- kata, masalah kewangan dan kesihatan yang cukup teruk. 

Saya masih lagi mempunyai duit simpanan dalam Rm3,000 lebih. Saya beli motor supaya senang ulang- alik kerja. Duit simpanan sudah habis. Hutang rakan yang dipinjam sebanyak Rm200 masih belum dibayar. Saya tangguhkan dan sering saja tangguh kerana ada keperluan lain yang mendesak. 

Akibat tangguh hutang walau cuma Rm200 , saya dibelenggu resah gelisah , tidur malam tidak pernah lena. Sudah gelap gelita dunia. Beberapa bulan setelah tamat pengajian, saya bekerja sebagai guru Matematik dan Sains di sebuah sekolah. Dengan gaji itu , dapatlah saya bayar hutang tersebut. Alhamdulillah selesai, lega teramat sangat. 

Walaupun begitu, saya masih hadapi kesempitan wang, mahu bayar rumah sewa, motor, barang-barang lain dan mahu beri duit kepada ibu ayah di kampung. Gaji terasa tidak cukup. Disebabkan simpati, rakan serumah pinjamkan saya RmX,XXX . Saya terpaksa berhutang lagi. Terpaksa! 

Saya memang tidak sukakan hutang. Namun rakan serumah sangat baik. Walaupun dia kata tidak mengapa hutangnya dibayar lambat sedikit, saya pasti dia sedang susah kerana mahu pergi Luar Negara buat kaji selidik. Dia perlukan duit . Saya tidak keruan. Saya tidak pernah nyatakan kepadanya bila saya mahu bayar. Saya belum dapat bayar hatta satu sen ketika saya kerja selama berbulan- bulan. 

Mengapa? Ada- ada sahaja masalah menimpa yang memerlukan duit. Saya tertanya- tanya kenapa jadi begini, silapnya di mana ? Solat jaga seperti biasa dan sebagainya namun ia tidak lagi setenang dan sekhusyuk dulu. 

Sehinggalah saya terbaca satu post :

"The problem is not a problem . Your attitude about the problem is the problem" (Captain Jack Sparrow).

Hutang boleh jadi sebab kepada rezeki tersekat sampai kepada kita kerana ada hak orang lain dalam duit kita yang masih belum kita langsaikan. Allah beri lebih untuk kita langsaikan belenggu hutang kita. Jangan kerana mulut manis kita, hidup orang lain susah. 

Ada duit lebih, bayar hutang terus. Elakkan simpan konon nak buat modal niaga, bayar guna duit hasil untung dan sebagainya. Elakkan buat pelaburan yang lain sebab nak guna duit untung dividen sahaja buat bayar hutang. 

"Ada orang hutang Rm3,000 pun sudah gelap dunia, ada orang hutang Rm3 juta relaks sahaja".

Lagi sekali, "the problem is not a problem, your attitude about the problem is the problem". 

Hutang apa yang kita ada sekalipun lihat dengan mata sendiri. Sama ada hutang itu kecil atau nampak besar, it is your call. 

Kenapa ketika kita minta hak orang lain (hutang), kita bermanis muka dan janji pelbagai ragam? Dan saat lunaskan hak-hak orang yang kita pinjam sementara, kita pula rasa berat? Mati syahid pun tak lepas kalau ada hutang. 

"Mengapa orang dahulu kala ada rumah sebiji sahaja ? Kerana mereka tidak mahu berhutang dibawa mati. Kerana mereka tidak mahu terlibat dengan Riba. Jadi lunaskan hak orang, Allah akan kembalikan hak kita". (Faiz Sufi, 2014)

Terkesan dengan kata-kata ini, baru saya tahu punca sebenar hidup saya porak- peranda. Kerana saya tiada masalah yang lebih berat berbanding hutang ini. Kerana setiap hari, ia pasti mendatangi saya. Namun saya masih lagi menangguh-nagguhkan pembayarannya . Maka, saya terus langsaikan hutang sedikit demi sedikit yang mana mampu. 

Ikut cara Ustaz Yusuf Mansur di bawah :

(1) Cari orang lebih susah dari kita dan bayarkan hutang orang yang lebih susah dari kita itu. 

(2) Usahakan sedekah 10% dari hutang kita. Contohnya hutang kita Rm3,000 , sedekahkan sekurang- kurangnya Rm300. 

(3) Jaga solat selalu agar tepat pada waktu dan ditambah ibadah sunnah seperti puasa, solat tahajud, solat Dhuha dan sunnah sunnah yang lain. 

Logik Sedekah 10% Dari Hutang Ialah : 

Tentu kita tahu dan faham konsep Matematik Allah yang mengatakan bahawa 10-1= 19 bukan? (ada dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki , muka surat 112). Sebab Matematik ini berlandaskan pada konsep pembalasan yang Allah beri secara istimewa. 

Allah telah berjanji untuk balas sedekah kita 10 kali ganda. Apa- apa pun itu di mana intinya adalah sedekah, maka ia pasti dibalas. Ingat, 10 kali ganda. 

"Ustaz Yusuf Mansur pernah masuk penjara kerana perniagaannya muflis (tidak pasti, namun yang pastinya memang pernah masuk penjara) dan beliau mendapat Hidayah- Nya semasa berada di dalam penjara. Alhamdulillah. 

Pada mulanya Ustaz Yusuf Mansur cari anak yatim untuk dibayarkan yuran sekolahnya. Beliau tetap berusaha untuk sedekah 10% dari hutang-hutangnya walaupun masa itu tiada wang. Beliau berusaha dengan menulis buku, mengajar , menjual peti sampai bisnes MLM pun dibuat. Dan sedekah terdahsyatnya adalah dari penerbitan buku. 

Sungguh Allah Maha Penolong, kini Ustaz Yusuf Mansur dari banyak hutang menjadi banyak wang! Perniagaannya ada di mana- mana. Subhanallah! 

Sepintas lalu baca dan lihat, nampak macam mudah kan. Namun bagi orang yang tidak yakin dengan ilmu sedekah, ini akan terasa amat berat. Yalah, ada hutang Rm30,000. Yang kena disedekahkan Rm3,000 dengan situasi duit yang belum ada. 

Jika begini, Ustaz Yusuf Mansur selalunya sarankan jual sahaja apa yang ada dulu. Motor , peti ais, telefon dan lain- lain lagi untuk usahakan dapat 10% sedekah itu. 

Ada juga yang rasa khuatir, , "Betul ke ni? Jangan- jangan sedekah saya nanti Allah tak balas. Jangan- jangan sedekah saya tak 'berpengaruh' macam orang lain dengan hutang- hutang saya ni dan juga rasa khuatir lainlah yang bermacam- macam". 

Aduhai , Allah itu kan Maha Membalas! Yakinlah. 

Ada juga orang yang bersedekah di balas terus, ada yang dalam tiga hari terus dibalas Allah, namun ada juga yang satu minggu, satu bulan, bahkan setahun tidak juga merasakan balasan dari sedekahnya. 

Kata Ustaz Yusuf Mansur , "Ya, balasan sedekah tidak selalu berbentuk wang. Kerana sedekah bisa menyelamatkan kita dari bala bencana, memanjangkan umur dan menyembuhkan penyakit. Seharusnya memang kita tidak usah khuatir akan janji- janji Allah".

Kerana Allah berfirman dalam Surah Al- Baqarah, ayat 261 :

"Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang- orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap- tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia- Nya) lagi Maha Mengetahui" . 

Andai nak sedekah untuk dilangsaikan hutang, niatlah supaya Allah bantu untuk langsaikan hutang yagn ada itu dengan bersungguh- sungguh dan tawakal. Kalau bahas ilmu sedekah memang takkan habis. Boleh baca buku- buku atau tonton video Ustaz Yusuf Mansur untuk penerangan lanjut. 

Sedekah 10% ni bukan saja untuk langsaikan hutang. Sedekah juga boleh digunakan untuk dapatkan sesuatu seperti kereta , telefon dan lain- lain. 

"Mohon sahaja kepada Allah . In Sha Allah". (Nadiah Azman)

Konsep Ustaz Mansur tu macam ni , Ada orang tak berapa faham, itu cuma kiraan matematik Ustaz Mansur berdasarkan konsep sedekah yang mana sedekah sekali Allah balas 10 kali ganda. Sebab tu, kalau nak selesaikan hutang buat 10% daripada jumlah hutang. In Sha Allah hutang tu habis ikut konsep sedekah 1=10 kali balas. Gitu. 

Contoh hutang ada Rm3,000 . Kalau nak habiskan hutang, kenalah keluarkan Rm300 sekali sedekah untuk langsaikan hutang tu ikut balasan sedekah 10 kali ganda dari jumlah sedekah. Rm300 x 10 = Rm3,000. Tapi , Allah ni Maha Baik. Tak semestinya sedekah kita tu betul- betul dia balas 10 kali ganda. Ada lebih . Ada dalam bentuk yang lain. Buatnya asbab kita sedekah tu, pemberi hutang tu nak halalkan hutang dia pada kita pun mana kita tahu kan. Macam- macam cara Allah balas. Itu cuma asas kiraan saja. 

Setelah faham perkara di atas , tanpa berlengah lagi saya jual semua apa yang saya ada. Handphone, rantai emas untuk langsaikan hutang. Inilah amalan apa yang telah saya lakukan dan ikut . Alhamdulillah, bebas hutang. 

Kemudian saya laksanakan pula formula- formula rezeki melimpah ruah pada muka surat seterusnya . Dengan izin Allah, ia mengubah hidup saya 360 darjah , fikiran, hati, emosi, pergaulan, imej dan tingkah laku dari sudut positif. Alhamdulillah, sekarang rezeki pula mengejar saya . Saya tidak mahu lagi dikelilingi hutang . Cukuplah hidup sifar hutang dari dibelenggu hutang . Kerana hutang amat berat nisabnya di akhirat kelak . 

Popular Posts